harapan menang

Wednesday, October 6, 2010

oleh :antihadhari 92

Terengganu adalah sebuah negeri yang unik.Jumlah Parlimennya genap lapan buah,manakala setiap Parlimen pula mempunyai empat buah Dun di mana akan ada sebuah Dun yang menjadi pusat pentadbiran sesebuah Parlimen atau daerah.Untuk rekod,Pas kini menguasai lapan Dun rata-rata Dun yang berada di kawasan bandar.Berikut adalah Dun yang dikuasai Pas:

Bagi memenangi kembali Terengganu,Dun-Dun ini WAJIB dipertahankan.Bagi penulis,tiga kerusi yang perlu diambil perhatian yang lebih adalah Dun Bukit Tunggal,Dun Ladang dan Dun Bukit Payong memandangkan Dun ini dimenangi dengan majoriti kurang 1000 undi.Walaubagaimanapun,Pas pula mempunyai mempunyai potensi besar di LAPAN lagi Dun yang dimenangi UMNO dengan majoriti kurang 1000 undi.


KERUSI DI DUN TERENGGANU BAWAH MAJORITI 1000 UNDI
Sekiranya lapan dun ini berjaya diambil,kedudukan seri akan berlaku di Dun Terengganu.Oleh itu,Pas perlu bekerja lebih untuk menguasai 5 lagi Dun bagi menjamin kerajaan yang selamat dan mengelakkan undi tidak percaya kembali di Dun Terengganu.Oleh itu,penulis lihat sedikit kerja keras perlu dilakukan oleh Pas untuk menguasai beberapa buah Dun yang dimenangi BN dengan majoriti bawah 2000 undi iaitu:
Selain itu,penulis rasakan cadangan-cadangan ini boleh membantu Pas dalam memenangi semula negeri Terengganu Darul Iman:

1.Lancarkan segera Program Tawan Terengganu (seperti Gelombang Biru dahulu).Setiap Dun perlu mengadakan sekurang-kurangnya satu ceramah setiap minggu.Sebenarnya misi ini telah mula dilaksanakan di bawah Ops Al Falah.Teruskan Pas Terengganu.

2.Isyhtihar sebuah model "Kerajaan Penyelamat Rakyat" di mana calon MB dan exco yang berwibawa diperkenalkan.

3.Edarkan seberapa banyak risalah berkala mulai sekarang.Sedar betapa masih ramai orang Terengganu tiada kemudahan internet.

4.Tembus dan masuk kawasan Felda dan KETENGAH yang menjadi pemecah undi Pas.Bawa generasi muda FELDA bersama Pas

5.Perkemas jentera di waktu UMNO masih berkrisis.

6.Menarik undi golongan Cina di Terengganu.Dapatkan undi majoriti dari kaum Cina.Malah,Pas patut letak calon Cina Islam seperti di Kelantan.

7.Senaraikan calon-calon berlatarbelakangkan pendidikan yang seimbang dengan kehendak kepimpinan kerajaan negeri.Pas perlu mempunyai calon yang berkelayakan sains politik,ekonomi,perancang bandar,kesihatan,pertanian selain calon-calon lulusan agama.Hal ini akan menjadikan barisan calon yang ideal di Terengganu.Selain itu,tonjolkan kebolehan dan kepakaran mereka dalam manifesto dan kesesuaian dalam faktor Terengganu semasa.Penulis lihat calon Pas sebelum ini terlalu bersifat low profile.

8.Bagi menangani penerima "tegar wang ehsan" ingatkan kembali "keuntungan" berganda ketika Pas memerintah dahulu di mana rakyat Terengganu menerima bantuan negeri dan Pusat.

9.Tawarkan pembangunan "sebenar" yang diperlukan pengundi di kawasan bandar.Mereka tidak mahukan masjid Kristal tapi prasarana awam yang masih uzur di Terengganu.(soal wang bukan isu kerana Kelantan telah berjaya membangun bersama syarikat swasta)

10.Penyalahgunaan kuasa UMNO perlu diberitahu secara "detail" dan bukan hanya bersifat menyindir dan mengejek.Nyatakan fakta-fakta sebenar penyelewengan yang tidak diketahui umum.

11.Masalah lain Pas Terengganu adalah dana.Pastikan Pas Terengganu mempunyai peruntukan secukupnya untuk memenangi negeri.Situasi bukan lagi seperti di tahun 1999 di mana kemenangan mencari kita tetapi kita perlu mencari kemenangan.

12.Pas Terengganu patut mengkaji semula perletakan calon PKR di Terengganu di peringkat Dun memandangkan rakyat Terengganu nyata tidak berapa menerima parti tersebut.Hal ini kerana mereka tidak mempunyai base yang kukuh dan rata-rata calon mereka adalah calon bidan terjun yang tidak dikenali penduduk tempatan.

13."Keterbukaan" perlu diamalkan Pas di Terengganu.Jadilah mesra media dan mesra pemerhati.

14.Jangan timbulkan soal pengundi hantu.Tetapi pada masa sama bergerak ke arah sikap waspada terhadap pengundi hantu.

15.Beri peluang kepada lebih ramai pemimpin muda untuk bertanding terutamanya di kubu kuat UMNO.Biarpun mereka berkemungkinan besar tewas,tetapi mereka boleh mula meletakkan batu asas untuk mula berakar umbi di kawasan tersebut.Seperti air yang menghakis batu.

16.Pas perlu mesra pada golongan muda.Jangan cepat mengharamkan sesuatu perkara tetapi berhemah dalam menyampaikan perkara halal dan haram.Seperti yang dilakukan para pendakwah Arab suatu masa dahulu iaitu lebih banyak melakukan "asimilasi" budaya Islam kepada budaya setempat.

17.Fakta-fakta kejayaan pemerintahan rakyat 1999 perlu ditekankan kembali.Hebahkan kepada semua betapa Pas lebih mampu menghapuskan kemiskinan daripada UMNO.

Hukum menerima wang yang tidak jelas

Tuesday, October 5, 2010

oleh
Zaharuddin Abd Rahman


Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM


Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1. Wang kerajaan negeri Pulau Pinang (dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.

Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya. Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2. Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjakannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3. Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam (Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225)

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut yang ertinya: Pemilikan kotor (haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) (Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. (rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata yang ertinya "sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir (dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka." (Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain yang ertinya: "Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan." (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata yang
ertinya : "Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). (Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL


Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda yang ertiya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN


* Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.

* Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.

* Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini

* Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.

* Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.

* Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.


Siapa yang 'gilo'

Saturday, October 2, 2010

Dr Azman Ibrahim

Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘kelentong’ penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah Maghrib dan menziarahi kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’. Entah apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP.

Tambahan pula Najib sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.

Entah berapa 'upah' yang diterimanya malam tadi (1 Oktober) sehingga begitu bersemangat sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang). Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’ diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”, “jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Rupanya benar sebagaimana pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda PAS Kelantan bahawa ‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas Umno di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! Kalu tak dak ore nak ganti, biar ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti,” ujarnya angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?

Malangnya Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang menggambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya. Intipati ceramahnya cuba untuk menggambarkan khianatnya PAS dan PKR bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan gendang dan tepukan hadirin.

Mungkin tak sampai maklumat kepada dia, Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR). Kerajaan Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Datuk Ngeh Kho Ham, Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat Exco supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru Pondok ini yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari lepas telah belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Di samping kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.

Buku Sejarah Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditunjukkan kepada hadirin, “inilah dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia buku Perlembagaan yang sebenar walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun belum tentu dia boleh faham.

“Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang mempertahankan orang Melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” ujarnya, mungkin merujuk kes doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk orang bukan Islam dan dah lama selesai.

Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) negara kita kepada puak-puak gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan padu kepada Datuk Seri Idris, Datuk Abdullah Mohd Zain dan pastikan puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan datang.”

Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak banding dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi dengan langit.

Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.