Memenangkan Islam dan umat

Monday, June 7, 2010

Assalamu'alaikum,

Mencapai kemenangan bukan semudah angan angan. Kita akan berhadapan dengan ujian dan halangan.

Bagi mempermudahkan pencapaian kemenangan Islam, muslimat boleh menggunakan pendekatan yang dicadangkan di bawah.

1. Pembentukan diri muslim.

Ilmu memainkan peranan penting bagi membentuk peribadi muslim, maka carilah ilmu di mana sahaja yang anda mahu. Semestinya ilmu itu bersumberkan al quran dan sunnah Rasulullah. Ilmu itu menjadikan anda makin hampir dengan Pencipta yang Agung. Ilmu yang dapat menjadikan anda dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia.

Jadikanlah diri anda orang yang membaca al quran dan memahami isinya. Jadikan diri anda orang yang membenarkan al quran bukan mendustakan al quran.


2. Pembentukan keluarga muslim.

Masih belum terlambat untuk anda membina keluarga muslim. Anda yang belum berkahwin, carilah jodoh yang mempunyai matlamat hidup yang sama untuk menegakkan islam di ruang rumah tangga. Andainya anda memegang teguh kepada saranan Rasulullah, nikahilah kerana agamanya , maka anda akan selamat.

Anda yang sudah berkahwin dan sudah memiliki cahaya mata, mungkin akan berdepan dengan masalah. Jangan berputusasa. Kita ubah suasana dengan memohon kekuatan dari Allah dan mohon petunjuk untuk anda dan pasangan anda . Jadikan diri anda dan pasangan anda akur kepada perintah Allah dan seterusnya menjadikan islam sebagai panduan hidup. Bila anda dapat memuslimkan diri, memuslimkan pasangan anda maka mudahlah bagi anda untuk memuslimkan anak anak anda.

3. Wujudkan suasana muslim

Anda muslim dan memuslimkan orang lain. Kekuatan itu mungkin ada pada anda. Gunakan kecantikan budi bicara islam, gunakan keindahan akhlaq islam dan gunakan segala ni'mat yang ada untuk menarik manusia kepada islam.

Jika tidak upaya sendirian , bertautlah kepada rakan taulan untuk gandingan yang mantap. Jika tiada , carilah pengaruh secara beradab dan ubahlah dengan kuasa yang ada.

Imarahkan masjid dan surau bagi anda yang bergelar muslim. Jangan biarkan rumah Allah merintih sendiri . Wahai imam wahai bilal, di bahumu ada amanah yang berat. Di pundakmu ada jalan menuju syurga dan ada jalan ke neraka. Segerakan pewalian anda untuk mewujudkan suasana muslim berpusat aktif dari surau dan masjid.

4. Amar ma'ruf nahi mungkar yang berterusan.

Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab untuk mengawal keharmonian masyarakat ?

Anda yang bergelar muslim mempunyai tanggungjawab menyeru berbuat baik dan mencegah mungkar. Sesuai dengan seruan Rasulullah, "Barang siapa yang melihat kemungkaran , hendaklah dicegah dengan tangannya, jika tidak mampu cegahlah dengan lidah , jika tidak mampu maka cegahlah dengan hati, itulah selemah lemah iman ". Jadi, tugas menjaga keharmonian, keamanan dan kesejahteraan masyarakat adalah tanggungjawab bersama.

Itulah antara kepatutan anda yang mahu muslim dan menjadi muslim. Kejayaan dan keberkatan dari Allah akan mencurah curah turun , kerana kasihsayang dan pemurahNya terlalu luas.

0 comments: