Perjuangan Islam Satu Kewajipan

Thursday, June 10, 2010

UCAPAN AL-MURSYIDUL AM PAS MAJLIS PERASMIAN SERENTAK MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN ULAMAK PAS PUSAT, DEWAN PEMUDA PAS PUSAT DAN DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT PADA 26 JAMADIL AKHIR 1431 / 9 JUN DI PUTIK, PENGKALAN CHEPA

Firman Allah yang bermaksud : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat. (An-Nisak: 58)

Terima kasih saudara pengerusi majlis,

· Yang Berhormat Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat,

· Al-fadhil Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat,

· Al-fadhilah Dewan Ketua Muslimat PAS Pusat,

· Al-fadhil Wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,

· Yang dihormati ahli jawatankuasa Ulamak, Pemuda dan Muslimat,

· Serta sidang perwakilan dan para pemerhatian Muktamar sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur kita panjatkan kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk bersama-sama berada di dalam majlis perasmian muktamar tahunan dewan-dewan PAS Pusat pada malam ini. Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan muktamar tahunan dewan-dewan yang julung-julung kali diadakan serentak pada tahun ini.

Mewakili pihak tuan rumah, saya mengucapkan selamat datang, “ahlan wasahlan wamarhaban biqudumikum..”

Perjuangan Islam Merupakan Satu Kewajipan

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Saya ingin memulakan ucapan ini dengan mengingatkan kita semua bahawa perjuangan Islam yang kita galas pada hari ini bukanlah satu pilihan, tetapi ia merupakan satu kewajipan yang terpikul di atas bahu kita semua. Ini kerana setiap perkara yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai tugasnya masing-masing. Makhluk seperti binatang mempunyai tugasnya. Kayu dan batu yang tidak bernyawa juga mempunyai tugasnya iaitu kesemuanya diciptakan oleh Allah SWT untuk kegunaan manusia sebagaimana yang disebut di dalam firmanNya:

Yang bermaksud: ”Dia-lah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu”. (Al-Baqarah: 29)

Jika semua perkara di dunia ini diciptakan untuk kegunaan manusia, maka untuk apakah pula manusia itu sendiri diciptakan? Adalah janggal jika dikatakan manusia yang merupakan makhluk yang paling sempurna tidak mempunyai tugasnya yang tersendiri.

Justeru, Islam hadir dengan satu jawapan bahawa tugas manusia ialah mengabdikan diri kepada tuhan yang menciptakan alam ini iaitu Allah SWT. Jawapan ini jelas disebut oleh Allah SWT di dalam ayat yang berbunyi: Yang bermaksud : Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supayamereka mengabdi kepada-Ku. (Az-Zaariat: 56)

Pengabdian kepada Allah SWT haruslah dengan cara yang Allah sendiri tentukan. Ia tidak boleh dibuat dengan hasil kreativiti manusia itu sendiri. Manusia boleh berinovasi tetapi tidak di dalam urusan pengabdian kepada Allah SWT. Oleh yang demikian, diutuskan para nabi alaihimussolatuwassalam untuk mengajar manusia bagaimana mahu mengabdikan diri kepada Allah gar tidak tersesat jalan dalam kehidupan ini. Hidup mengikut Islam adalah dua kali ; 1. Hidup untuk beribadah sepenuh masa iaitu hidup sekarang (duniawi). 2 Hidup selepas mati (kiamat) yang disebut dengan lebih daripada 40 nama termasuklah nama yaumiddin yang wajib diulang setiap kali muslim bersembahyang.

Inilah yang disebut sebagai dakwah. Para nabi datang bukan dengan tujuan mahu mengajar manusia bagaimana membina tamadun dan melakukan pembangunan fizikal, tetapi lebih jauh dari itu ialah dengan misi untuk menyelamatkan manusia dari terjun ke dalam api neraka di akhirat kelak.

Inilah apa yang dilakukan oleh PAS pada hari ini. Kita mewarisi perjuangan para nabi di dalam mengajak manusia ke arah makruf dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Kita tidak mewarisi perjuangan demokrasi dari Eropah, Inggeris dan Perancis. Sekalipun zaman nubuwwah telah berakhir dengan pengutusan nabi Muhammad SAW, namun tugas untuk meneruskan usaha dakwah ini masih belum tamat dan tidak akan tamat selama-lamanya. Di dalam hal ini, para nabi yang akan menjadi contoh kita. Bukan mana-mana ahli falsafah. Kita tidak ke Barat dan tidak ke Timur mengikuti arus, apa yang kita pegang hanyalah Islam.

Inilah yang telah ditegaskan oleh pimpinan kita yang terdahulu. Saya ingin menukilkan tulisan Almarhum Doktor Burhanuddin Helmi di dalam majalah Suara Islam bilangan 1 tahun ke-2 yang dikeluarkan pada Disember 1957, beliau menulis, “Tiap-tiap perjuangan mesti ada cita-cita atau ideologi, dan cita-cita itu didasarkan atas tujuan yang benar-benar teguh dan adil, ideologi adalah nyawa kepada pertubuhan..”

Sesungguhnya, ideologi PAS ialah Islam. Tanpa Islam, PAS umpama jasad tanpa nyawa. Justeru, saya sekali lagi ingin mengingatkan bahawa perjuangan kita bukan bermula pada hari ini, ia merupakan perjuangan yang dimulakan oleh para anbiya’ yang terdahulu. Kita hanyalah mata rantai di dalam perjuangan ini, kita mempusakainya dari generasi yang terdahulu, dan kita menyambung mata rantai itu serta akan mewariskannya pula kepada generasi yang terkemudian.

Belajar dari sejarah

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah. Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat. Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah.

Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga di dalam mendepani cabaran pada masa akan datang. Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat. Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu di dalam pilihan raya umum pada tahun 1959. Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973. PAS pada masa itu dengan hati yang ikhlas menyambut huluran tangan perpaduan dengan harapan berlaku kebaikan berpanjangan. Rupanya Barisan Nasional adalah perangkap bagi PAS.

Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat – selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan. Ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.

Selepas ditendang keluar dari Barisan Nasional, PAS bersendirian, kembali dagang mengatur tapak membina kekuatan seperti dagangnya Nabi Muhammad SAW sekembalinya dari Thoif dengan kakinya yang mulia berlumuran darah sambil merayu kepada Allah SWT dengan doanya yang masyhur. Berkat kegigihan, kita bengah dengan semaraknya Kepimpinan Ulama disokong oleh penggerak tarbiyah parti yang terus memperkasa Kepimpinan Ulama.

Landasan tarbiyah turut sama mengukuhkan kepimpinan Pemuda dan Muslimat. Berkatnya Kepimpinan Ulama telah mendapat sokongan semakin ketara, sehingga mampu mengatur perancangan politik-dakwah mendepani segala cabaran. Antaranya, persepakatan dengan Semangat 46 membolehkan PAS menguasai Kelantan semula pada tahun 1990, persefahaman dan penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif menghadiahkan kemenangan di Terengganu pada tahun 1999 dan akhirnya melalui percaturan satu lawan satu di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, ian telah mencatit sejarah di mana kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga (2/3) Barisan Nasional di parlimen.

Menghadapi pilihanraya umum ke-13

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Hasilnya, berlaku hubungan politik PAS~PKR~DAP semakin kukuh. Ia membawa lahirnya Pakatan Rakyat sebagai alternatif baru untuk rakyat Malaysia menggantikan Barisan Nasional. Maka saya melihat kehadiran DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat ini semacam satu kifarah Allah SWT kepada kita semua pejuang PAS. Ini kerana setelah beberapa lama alim ulama kita termasuk tok-tok guru di pondok-pondok tidak melaksanakan tugas dakwah menyebarkan Islam kepada kumpulan non Muslim (Cina, India, Siam atau orang Asli) menyebabkan sebaran dakwah baik di pondok atau di sekolah-sekolah Arab hanya berkisar di kalangan sesama Islam sahaja. Melayu ajar melayu sahaja. Maka secara politiknya kita berpakat, namun pakatan itu hendaklah bersama tugas dakwah. Sekarang rakain kita adalah mad’u kita.

Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya.

Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada Barisan Nasional bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku 4 atau 5 tahun sekali. Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah. Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita. Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab. Kerana memang begitu ajaran Islam, itulah kelebihan kita bergerak di atas landasan Islam. Ia turun daripada Allah bukan diseludup masuk daripada Eropah.

Kita yakin dengan tawaran ini, misi kita bersama-sama Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-13, bakal membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar memenuhi aspirasi semua lapisan rakyat. Kerana tidak asatu pun ajaran Islam yang boleh memudaratkan manusia tanpa mengira bangsa. Sehubungan itu, saya amat berharap agar pihak parti dapat menterjemah sebaik mungkin apa-apa langkah dan usaha atau strategi yang berkesan ke arah memastikan realiti PAS adalah sebenar-benar memimpin perubahan menghadapi pilihanraya umum ke13 nanti.

Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir. Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru. Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat. Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah.

Fokus menawan pengundi Melayu

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Pilihan raya umum yang ke-12 dan siri pilihan raya kecil yang berlaku selepasnya, termasuklah terbaru di Hulu Selangor dan Sibu, jelas sekali bagaimana Barisan Nasional telah ditolak secara total oleh pengundi bukan Melayu. Hari ini, tidak dinafikan bahawa yang menjadi tongkat Barisan Nasional ialah pengundi Melayu.

Saya suka mengingatkan agar memerhati perkembangan ini dengan serius. PAS sebagai alternatif kepada UMNO perlu bergerak dengan lebih cergas di dalam meraih sokongan pengundi Melayu. Jangan dibiarkan orang-orang Melayu terus ditipu hidup-hidup dengan momokan ‘Ketuanan Melayu’ yang merupakan dongengan pemimpin UMNO. Orang orang Melayu perlu diingatkan bahawa keris yang dijulang oleh pemimpin UMNO itu bukannya untuk memperjuangkan Melayu tetapi hanyalah untuk merobek perpaduan kaum dan menikam bangsa sendiri yang tidak sehaluan dengan mereka. Buktinya, Kelantan sebagai negeri yang majoritinya Melayu dinafikan hak untuk mendapatkan royalti minyak daripada buminya sendiri. Projek-projek pembangunan daripada Pusat semuanya diserahkan kepada jabatan mereka sendiri. Semacam kerajaan Kelantan sekarang tidak sah dan pegawai-pegawai tidak berpelajaran, lemah dan korup.

Justeru, demi memastikan orang-orang Melayu turut bersama kita di dalam pelayaran bahtera perubahan ini, PAS perlu bergerak dengan lebih efektif agar dterima rakyat. Jika ditanya Kelantan apakah formulanya, saya suka menjawab bahawa formulanya ialah mendidik jiwa rakyat dengan agama, suburkan sanubari mereka dengan taqwa kepada Allah agar hati mereka tidak mati, tidak keras untuk menerima siraman hujan kebenaran. Usaha ini dilakukan setiap masa, bukan 5 tahun sekali tatkala menjelang pilihan raya. Bahkan perlulah sentiasa memilih antara laluan fujuraha (maksiat) dan laluan taqwaha (ketaqwaan). Inilah beza antara jemaah Islam dan sekular.

Pada sudut inilah, saya meletak harapan besar kepada Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat agar meletakkan keutamaan menguasai sasaran lebih besar pengundi Muslim Melayu. Semoga dengan jumlah 110 kerusi parlimen yang majoritinya muslim, akan berlaku suatu pendekatan terbaik bagi menjamin kemenangan Islam setidak-tidaknya kesemua kerusi yang PAS bertanding. Apa yang penting sampaikan seruan perjuangan Islam keppada semua lapisan masyarakat. Insya Allah, bila memahami Islam, mereka tidak bermusuh dengan PAS, sebaliknya akan menolak UMNO yang sekular itu. Jelaskan bahawa seruan ketuanan Melayu tetap menimbulkan rasa dendam, cemas yang berpanjangan. Kiranya golongan dendam ini berkuasa di satu masa, maka rasa dendamlah yang akan dilaksanakan. Moga dijauhi Allah.

Fokus mempamerkan Islam kepada golongan Nonmuslim

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Selain itu, saya amat berharap benar agar kita meningkatkan usaha untuk memperkenalkan Islam kepada saudara kita golongan Nonmuslim. Sudah sampai masanya untuk kita lebih serius mewajahkan semula Islam yang telah disolek dengan buruk oleh UMNO. Masyarakat Malaysia perlu disedarkan bahawa Islam bukan milik bangsa Melayu. Bahkan sejarah menyebut kaum Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam sebelum bangsa Melayu sendiri di benua masing-masing sebelum bangsa Melayu sendiri menerima Islam kira-kira 500 ratus tahun dahulu.

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah di atas penubuhan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (ringkasnya Dewan Penyokong PAS). Dewan Penyokong ini adalah pemimpin dan ahlinya terdiri daripada rakan-rakan kita Nonmuslim yang sedia berjuang bersama kita. Ini merupakan satu langkah ke hadapan yang telah diambil ke arah mendekatkan perjuangan PAS kepada golongan bukan Islam (Nonmuslim).

Alhamdulillah, saya melihat fobia terhadap PAS sudah terhapus di kalangan orang-orang bukan Islam. PAS sebelum ini dijadikan sebagai hantu oleh UMNO untuk menakutkan Nonmuslim. Hantu itu sudah tidak wujud lagi, bahkan jika ia wujud juga, maka UMNO-lah hantunya. Tinggalkanlah UMNO dengan labu-labu kebangsaannya. PAS perlu terus melihat ke hadapan mengorak langkah memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang lurus. Saya optimis, jika masyarakat Nonmuslim berjaya memahami Islam yang sebenar, InsyaAllah pisau-pisau perkauman yang sekarang galak diasah oleh Barisan Nasional akan tumpul dengan sendiri dan akan memakan tuannya.

Sepakat Putrajaya (Consociational)

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Bertolak daripada gagasan menghadapi pilihanraya umum ke-13, ke arah menjadikan PAS sebagai peneraju politik negara, maka PAS hendaklah menguasai politik Melayu Muslim dan sekaligus mendapat kepercayaan pengundi bukan Melayu- Non Muslim. Melihat kepada sambutan rakyat sejak pilihan raya umum 2008 dan sebelas (11) pilihan raya kecil, dapat dikatakan bahawa telah berlaku tsunami politik kalangan pengundi bukan Melayu, khususnya pengundi Cina. Terbaru, atas nama Pakatan Rakyat kita berjaya merampas parlimen Sibu dari Barisan Nasional. Ia adalah bukti peningkatan keyakinan rakyat terhadap pendekatan politik baru Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional.

Justeru, kita yakin mood rakyat sekarang adalah bersama Pakatan Rakyat. Rakyat sudah jemu dengan pendekatan politik kebendaan ‘beli undi’ dan sekular Barisan Nasional. Atas prinsip politik Pakatan Rakyat yang mula diterima ini, maka PAS hendaklah bersama dengan mood rakyat. Dengan ini, suka saya mencadangkan agar kesemua peringkat parti, khusus Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang bermuktamar kali ini dapat membincang dan merumuskan pendekatan politik-dakwah secara khusus atas cita-cita mengisi tema ‘Sepakat Putrajaya’ persis Fathu Makkah pada zaman Rasulullah SAW. Ia bermaksud, suatu laluan Putrajaya sudah dirintis, terbuka dan rakyat sedia mengiringinya. Maka, pemimpin pasti sedar, dan tunggu apa lagi?

Berkerjalah kita. Persoalannya, sejauh mana PAS sebagai parti untuk menguruskan bahtera perjuangan membuat persediaan. Seruan saya, mantapkan tindakan ke arah mengisi ‘Sepakat Putrajaya.’ Maka, laksanakanlah perintah Allah, sebagaimana firman-Nya: Yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu... (Al-Anfal: 60)

Sebagai menyahut seruan Sepakat Putrajaya ini, maka Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat hendakklah membina pelan strategik pilihanraya ke-13 sebagai panduan bagi memastikan segala usaha dewan-dewan adalah menyokong gagasan PAS memimpin perubahan tatkala pilihanraya umum akan datang.

Amanah kepada Dewan-Dewan

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Jika demikian besarnya urusan parti, maka setiap dewan ada amanah yang perlu dilaksanakan. Terawalnya kepada Dewan Ulama, saya menaruh kepercayaan untuk berperanan sebagai pemantau dan penasihat yang berkesan. Alhamdulillah golongan ulama telah lama turun padang berkhutbah, berceramah, naik rumah turun rumah sebagaimana Rasulullah SAW masuk khemah keluar khemah di Padang Mina dahulu.

Ulama perlu yakin bahawa mereka merupakan kiblat kepada perjuangan. Mana yang salah mereka perbetulkan, mana yang rebah mereka bangunkan, mana yang bengkok mereka luruskan. Jika ulama sendiri salah, rebah dan bengkok maka malanglah perjuangan ini. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (jilid pertama) menyebut: Yang bermaksud : Ulama ialah garam Allah di bumiNya.

Daging dan ikan dapat diselamatkan daripada berbau busuk dan rosak setelah diserapkan dengan garam. Apa kata jika garam itu sendiri tidak masin? Sudah tentu tidak ada lagi yang dapat menghalang daging itu busuk.

Berbezanya kita dengan UMNO ialah kita meletakkan ulama sebagai institusi yang dihormati, UMNO pula meletakkan ulama sebagai alat meraih sokongan. Selain itu, saya mencadangkan agar Dewan Ulama gigih berusaha membenttuk pelapis yang terdiri daripada ulama muda. Latihlah generasi pelapis yang boleh memandu perjalanan parti dengan ilmu yang mereka ada. Lihatlah contoh terbaik yaang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mengamanahkan kepada Usamah bin Zaid sebagai panglima pada saat-saat akhir usia baginda.

Selain itu, sebarkanlah keyakinan kepada masyarakat bahawa hidup ini tidak hanya tamat setakat di dunia sahaja, tetapi akan dinilai semua amalan di akhirat kelak. Jika masyarakat dapat diyakinkan dengan aqidah ini, saya yakin peruangan PAS secara automatik akan diterima kerana inilah tujuan sebenarnya PAS bergerak.

Di samping itu, para ulama boleh mempelopori langkah mempelajari bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia. Jika ulama dapat menguasai bahasa Mandarin dan bahasa Tamil contohnya, tentunya perjuangan PAS lebih mudah ditrima oleh rakyat Malaysia.

Kepada Dewan Pemuda, saya berpesan supaya sentiasalah menjadi pendokong kepada parti. Pemuda merupakan tonggak kekuatan gerak kerja parti. Bekalkanlah diri dengan wala’ dan thiqah kepada pimpinan dan luahkanlah teguran dengan cara yang baik dengan meraikan adab berjemaah. Sesungguhnya saya telah melalui perjalanan yang panjang lebih separuh abad di dalam PAS, saya benar-benar mmenyaksikan bagaimana rakan-rakan kita yang asalnya bersama dengan kita memilih untuk meninggalkan PAS hanya kerana terkilan dengan isu-isu peribadi yang tertentu. Oleh yang demikian, saya berharap pemuda hendaklah sentiasa memasak keyakinan bahawa perjuangan ini pasti akan diganjari oleh Allah SWT.

Akhirnya, kepada Dewan Muslimat, saya harap supaya terus istiqamah di dalam menjadi sayap penting parti. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. (At-taubah: 71)

Kerana itu, di samping lelaki (yakni Pemuda dan Ulama) peranan Muslimat akan mengukuhkan lagi jemaah. Maka pimpinan Muslimat perlu merancang langkah efektif untuk mendekati dan menguasai golongan pengundi wanita yang merupakan separuh daripada jumlah pengundi. Muslimat juga perlu lebih ke hadapan menampilkan sifat kepimpinan yang boleh dihormati. Mungkin tidak berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki, tetapi tetap berdiri teguh dalam menongkat perjuangan, menabur baja iman dan menyiram air taqwa. Jadikanlah tokoh-tokoh juang muslimah yang melakar sejarah terdahulu (seperti Siti Aisyah isteri Nabi dan Zainab al-Ghazali muslimat Ikhwan Muslimun) sebagai idola dan ikutan di dalam menongkah arus perjuangan.

Sebenarnya, pihak parti sedia melayani suara Muslimat dan ruang menyampaikan suara itu terbuka luas dalam parti. Justeru, pihak parti sendiri sentiasa terbuka dalam meningkatkan lagi penglibatan Muslimat. Saya sendiri sejak awal-awal pentadbiran PAS di Kelantan telah mengiktiraf Muslimat sebagai senator dan kemudian wakil rakyat serta melantik sebagai ahli Exco.

Tuntutan istiqamah

Para pimpinan, perwakilan dan pemerhati yang dikasihi sekalian.

Demikianlah amanah yang dapat saya sampaikan di dalam majlis ini. Saya berdoa agar kita semua dapat mengambil manfaat daripada apa yang telah saya sampaikan. Besarlah harapan saya, ia tetap memerlukan kepada tuntutan istiqamah kepimpinan dan ahli di dalam melayari bahtera perjuangan ini. Realitinya, kita telah menanam benihnya yang akan dinikmati hasilnya oleh generasi yang terkemudian.

Paling penting, ikhlaskanlah usaha kita kerana Allah. Atas keikhlasan itu, semoga amalan kita dihitung sebagai amal soleh yang bakal mendapat balasan syurga. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun. (An-Nisak: 124)

Semoga setiap usaha yang kita lakukan kesemuanya dikira amalan yang baik dan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT. Dengan ini saya merasmikan Muktamar bagi ketiga-tiga Dewan – Ulama, Pemuda dan Muslimat. Semoga Muktamar kali ini berjalan dengan keberkatan Allah SWT.

0 comments: