Seruan dari Ilahi

Wednesday, January 19, 2011

pengedar produk jenama karcher

Dengar, Hayati dan Sahut Seruan Azan
Posted on Wednesday, January 19 @ 12:00:00 PST
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Artikel Oleh: nasrudin

"1. Selepas isu non muslim memasuki dan mengunjungi masjid, kini timbul pula isu azan yang dianggap mengganggu ketenteraman awam oleh sebahagian dari penduduk negara kita. Sedang azan adalah syiar agama Islam yang telah berkumandang diangkasa sejak ummat Islam wujud di negara ini. Malang jika masih ada yang belum memahami nilai seruan azan yang cukup luar biasa ini. Mungkin juga buat - buat tidak faham sedang azan adalah seruan rutin yang boleh didengari melalui menara masjid, radio dan televisyen saban waktu malah di televisyen lengkap dengan subtitle nya.

2. Barangkali masyarakat kita samada muslim atau non muslim masih gagal menghayati dan mendalami nilai spiritual dan saintifik yang tersirat disebalik seruan azan yang dikumandangkan. Lebih malang jika kegagalan memahami seruan azan itu bertolak dari rasa benci dan jengkel terhadap agama Islam itu sendiri. Bukan sahaja non muslim, malah orang yang mengaku Islam juga pernah memaki hamun muazzin [ tukang azan ] kerana mengganggu tidurnya sehingga terdapat perbahasan hukum seorang muslim yang mencela seruan azan boleh membawa kufur atau batal aqidahnya didalam kitab - kitab Islam.

3. Azan ialah I'lam iaitu [ seruan untuk memberitahu ] masuknya waktu solat [ sembahyang ] bagi ummat Islam. Menurut pendapat jumhur ulama' bahawa hukum azan ini ialah sunat muakkad bagi muslimin [ lelaki ] yang menunaikan solat berjamaah di masjid pada setiap 5 waktu [ subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak ]. Sementara menurut pandangan kebanyakan ulama' mazhab Hanbali , azan dan iqamah adalah fardhu kifaayah bagi solat 5 waktu justeru ia adalah syiar agama Islam yang perlu ditegakkan.

4. Azan menjadi syiar agama Allah iaitu mercu tanda kewujudan penganut ajaran Islam di kawasan atau kariah tersebut. Syiar ini bukan sahaja mesti diamal dan dipertahankan oleh ummat Islam malah mengagongkannya merupakan tanda jiwa dan hati yang bertaqwa kepada Allah swt.

Firman Allah swt : [ bermaksud ] Barang siapa yang mengagongkan meninggikan syiar agama Allah maka sesungguhnya ia adalah lambang ketaqwaan hatinya kepada Allah swt.

5. Tiada apa yang perlu dibimbangi atau ditakuti dari seruan azan ini. Bahkan ia adalah seruan yang cukup positif dan membina struktur tamadun ummah. Malah lirik atau senikata azan itu sendiri sudah cukup mendamaikan jiwa yang kusut dan hati yang lusuh asal sahaja seruan itu dinikmati dan dihayati alunan serta maksud setiap kalimahnya.

6. Azan bermula dengan seruan kebesaran dan keagongan Allah swt. Kemudian persaksian bahawa Tiada tuhan yang layak disembah selain Allah swt dan Muhammad adalah utusan Allah. Azan juga menyeru manusia agar tunduk dan sujud kepada Allah sebagai satu kemenangan hakiki yang perlu dicapai oleh manusia . Allah adalah Tuhan yang Maha Agong, Tiada Tuhan yang layak disembah selain Allah swt. Lafaznya

ألله اكبر الله أكبر الله أكبر الله أكبر .

أشهد أن لا إله إلا الله أشهد أن لا إله إلا الله

أشهد أن محمدا رسول الله أشهد أن محمدا رسول الله

حي علي الصلاة حي علي الصلاة

حي على الفلاح حى على الفلاح

الله أكير الله أكبر

لا إله إلا الله

7. Allah swt, adalah Tuhan kita semua. Tuhan yang mencipta manusia dan segala makhluk. Tuhan yang mencipta langit dan bumi. Tuhan yang menurunkan hujan lantas menyuburkan bumi untuk menumbuhkan tumbuh - tumbuhan yang menjadi rezeki kepada ummat manusia. Itulah yang Tuhan yang kita Agongkan saban waktu dengan seruan azan yang dikumandangkan agar manusia selaku makhluk yang diciptaNya tidak lupa untuk mentaati perintahNya dan tidak melanggar laranganNya.

8. Manusia sering leka dan lalai. Peringatan seperti ini menjadikan manusia kembali mengingati Allah swt. Manusia yang ingat kepada Allah tidak akan melakukan kemaksiatan dan kemungkaran. Mereka tidak akan melakukan rasuah, menyeleweng dan menyalahgunakan kuasa. Mengingati Allah swt menjadikan manusia baik, berintegriti, berakhlak dan berhati jujur.

9. Dunia ini akan menjadi aman dan damai jika seruan azan ini berjaya menyelinap masuk dalam hati kecil setiap individu manusia dan mereka menyahut seruannya. Betapa jika seruan ini turut menyelinap masuk ke bilik Menteri Besar dan exconya, bilik Perdana Menteri dan anggota kabinetnya, bilik Pengarah Syarikat dan ahli lembaga pengarahnya, lalu mereka menyahut seruan tersebut, banyak masaalah boleh diatasi.

10. Siapa lagi yang tergamak mempersoalkan seruan yang sedemikian indah dan suci ini ? Pula dikumandangkan dengan alunan yang lunak dan menusuk qalbu. Saya tidak nampak seruan azan ini menganggu ketenteraman awam sedang seruan itu hanya memakan masa sekitar 5 minit setiap kali ia dikumandangkan. Biarpun menggunakan pembesar suara, azan adalah satu seruan yang sangat indah untuk didengar dan dihayati oleh semua berbanding bunyi bising dan bingit muzik yang sanggup kita dengar saban hari dan saban ketika melalui konsert, pita rakaman, corong radio, televisyen, super market, restoran dan lain - lain.

11. Demikian juga kita sanggup mendengar bunyi - bunyian yang lain seperti deruan enjin kereta, kapal terbang, keretapi, kilang, mesin dari tapak binaan, salakan anjing dan suara tinggi manusia berpidato, bertengkar dan membebel. Kenapa kita mesti bersikap tidak adil terhadap azan yang hanya dikumandangkan sekadar 5 minit ? sedang seruan itu untuk mengingatkan manusia yang alpa agar mereka sedar akan amanah dan tanggubgjawab mereka .

12. Azan subuh sering dipertikai kononnya menganggu mereka yang sedang enak tidur. Sekali lagi saya mengajak supaya kita hayati seruan azan ini. Terdapat sedikit perbezaan seruan azan diwaktu subuh berbanding waktu - waktu lain. Azan waktu subuh ditambah satu lagi seruan yang berbunyi : الصلاة خير من النوم الصلاة خير من النوم

maksudnya : Solat [ sembahyang ] itu lebih baik dari tidur.

13. Saya tidak jangka ada orang akan berkata bahawa tidur itu lebih baik dari sembahyang kecuali ia seorang yang tidak tahu menilai erti agama dan ketundukan kepada sang Pencipta dalam hidupnya. Azan subuh akan dikumandangkan pada waktunya sekitar jam 5. 50 am . Saya kira inilah juga waktu setiap orang akan bangun untuk bersiap ke tempat kerja malah mereka boleh berterima kasih kepada muazzin . Sekalipun pada hari - hari cuti, disiplin hidup menjadikan mereka perlu juga bangun awal untuk senaman dan sarapan, sementara solat subuh itu sebahagian dari senaman fizikal untuk kesihatan yang sistematik bagi ummat Islam.

14. Disiplin waktu bangun pagi bukan sahaja dibantu oleh muaazin yang mengumandangkan azan saban hari tetapi juga dikongsi oleh makhluk Alllah yang lain seperti ayam yang berkokok setiap kali masuk waktu subuh dan cengkerik juga akan berbunyi dengan nadanya yang tersendiri. Ertinya waktu subuh ialah waktu manusia mesti bangun untuk memulakan kehidupan sehariannya secara disiplin dan sihat. Bagi seorang muslim, ia bermula dengan rukuk dan sujud kepada Allah swt sebagai tanda syukur yang tidak terhingga diatas segala nikmat kurniaNya.

15. Begitulah azan yang sewajarnya didengar dan dihayati serta disahut seruannya bukan dibenci dan dibantah apalagi dikecam dan dihina. Terima kasih muazzin .

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

"

0 comments: