hari raya aidul fitri

Tuesday, September 7, 2010

Hari Raya Aidilfitri

Nama rasmi : Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Puasa, Bahasa Arab: عيد الفطر 'Ayd al-Fiṭr ,Hari Raya Fitrah, Eid, Idul Fitri, Lebaran (Indonesia), Shemai Eid (Bangladesh), Ramazan Bayramı (Turki)

Tarikh 1 Syawal

Tarikh 2009 21 September
Tarikh 2010 10 September
Tarikh 2011 31 Ogos



Budaya Dan Masyarakat


Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر‎; 'Ayd al-Fiṭr; "perayaan fitrah") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah, dan Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Melayu,India-Muslim,Cina,Jepun,Monggolia,Pakistan , Inggeris dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadhan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Korban.

Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab(kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.


Zakat fitrah dan takbir

Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakar menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.


Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid memuji dan mengagungkan kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.

Persiapan

Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri.

Amalan amalan orang Melayu Islam

Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri(selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau". Pada Hari Raya, sampul selalunya berwarna selain daripada warna merah, iaitu hijau atau kuning. Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah.

Malam tujuh likor

Masyarakat Melayu memasang jamur, pelita atau suluhan untuk memberi kemudahan orang ramai pergi ke surau atau masjid. Dulu tidak ada api letrik. Orang orang Melayu Islam berulang alik ke surau atau masjid untuk solat Isya' dan tarawih. Pada hujung bulan Ramadhan , mereka mengerjakan qiamullail dan i'tikaf. Apa yang dilakukan sekarang, api dipasang sebagai kesukaan dan dijadikan perayaan 'malam likur'. Peniaga mengaut keuntungan dari budaya ini. Pelita likur yang berbagai jenis dibuat dan dipasarkan kepada masyarakat Melayu. Adakah ini adat atau ibadah ?

Asal usul memasang pelita

Saidina Ali k.w. mengelilingi masjid-masjid pada bulan Ramadhan dengan membawa lampu sambil mengucapkan kata-kata yang bermaksud: "Semoga Allah s.w.t. menerangi kubur Umar sebagaimana dia telah menerangi masjid-masjid kami." dan juga riwayat dari Umar (رضى الله عنه) menyebutkan bahawa:

"Barangsiapa yang memberikan lampu penerang pada masjid-masjid Allah maka Allah akan memberi pula baginya lampu penerang di dalam kuburnya. "

Penyelewengan berlaku bila suatu amalan dibuat lari dari tujuan asal ibadah. Lagipun masyarakat sekarang merayakan malam tujuh likur dengan pemasangan lampu warna warni disertai dengan permainan mercun dan bunga api. Itu bukan dari ibadah. Apa yang dituntut ialah memperbanyakkan amalan solat, zikir ,i'tikaf dan membaca quran.

Malam 1 Syawal.

Kesibukan menyediakan juadah raya menjadikan orang Melayu lupa daratan. Walhal malam tersebut digalakkan umat Islam memperhidupkannya dengan amalan solat ,takbir dan tahmid, zikir dan istigfar. Melakukan muhasabah terakhir, apakah hamparan pahala berganda Ramadhan dan bonus 1000 bulan berjaya dimilikinya. Sekira tidak, itulah malam terakhir baginya beramal .

Pagi Syawal

Seawal awal mandi sunat aidul Fitri, berpakaian bersih dan cantik serta menjamah sedikit makanan lalu pergi ke surau atau masjid atau Padang untuk solat sunat 'aidul Fitri. Orang ramai digalakkan pergi. Tua muda, kecil besar, lelaki perempuan dan uzur tak uzur dituntut untuk bersama bersolat dan mendengar kutbah. Itulah kemuncak kemenangan bagi orang yang berpuasa. Bila mereka laksanakan amalan itu dengan khusyu , janji Allah untuk membersihkan mereka (umat Islam) dari dosa seperti bayi yang baru lahir dan merdeka dari api neraka.

Rumah Terbuka

Konsep ini jadi amalan keturunan Melayu. Tidak salah untuk membuka rumah seluasnya kepada tetamu akan tetapi,hendaklah hindari perbuatan bidaah dan berdosa. Berlaku perlanggaran hukum syariat iaitu pakaian yang tidak menutup aurat, bersalaman dengan bukan muhrim ,melampau dalam makan minum serta berhibur melampau batas.

Beraya dengan ibadah dan bersedekah. Bermaafan sesama muslim. Memberi hadiah , sedekah , menghubungkan silaturrahim adalah lebih utama dari berhibur dan berbangga dengan perhiasan perhiasan sementara. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat.

Aidilfitri dalam Kalendar Masihi

Tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah sentiasa tetap dan sama mengikut kalendar Hijrah. Namun begitu tarikhnya sentiasa berubah mengikut kalendar Masihi kerana kalendar Hijrah adalah mengikut peredaran bulan manakala kalendar Masihi pula mengikut peredaran Bumi mengelilingi Matahari. Oleh itu, tarikh Hari Raya adalah berbeza daripada tahun ke tahun, dengan beza lebih kurang antara sepuluh hingga 15 hari.

Hari Raya pada tahun-tahun yang akan datang diramalkan akan jatuh pada tarikh-tarikh berikut. Tarikh-tarikh tersebut adalah tertakluk kepada perubahan.

* 2008: 1 Oktober
* 2009: 21 September
* 2010: 10 September
* 2011: 31 Ogos
* 2012: 19 Ogos
* 2013: 8 Ogos
* 2014: 29 Julai
* 2015: 19 Julai

Hari Raya bermula pada malam sebelum tarikh hari raya selepas tenggelam matahari.

0 comments: