Oleh: Nasrudin Saya ditakdirkan oleh Pencipta Jalla wa A’ala [Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Bertakhta] sebagai seorang yang berbangsa melayu dan dilahirkan pula di Tanah Melayu bumi bertuah. Justeru itu , saya sangat kasih dan cinta kepada bangsa saya malah saya berbangga dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah swt. Andai saya ditakdirkan berbangsa Cina maka saya mesti bangga dan kasih kepada bangsa saya demikian juga kiranya saya ditakdirkan berbangsa India , maka saya juga semestinya kasih dan bangga berbangsa India kerana ia adalah ciptaan Allah swt. Apatah lagi sejarah dunia memnunjukkan bahawa bangsa Cina dan India lebih awal menerima Islam berbanding Melayu] Wahai manusia , sesungguhnya kami telah mencipta kamu yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dan kami menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan berpuak – puak supaya kami saling mengenal antara satu sama lain . Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah swt ialah yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal . Al Hujurat : Ayat 13 Firman Allah swt : Sebahagian tanda – tanda keagungan Allah swt ialah penciptaan langit dan bumi dan berbeza bahasa lidah dan warna kulit kamu . Sesungguhnya pada yang demikian itu benar – benar terdapat tanda – tanda [ keagungan Allah ] bagi orang – orang yang mengetahui . Ar Ruum : Ayat 22 Nabi Muhammad saw juga pernah melahirkan rasa bangga dan bertuahnya dipilih dari kalangan bangsa Arab . Sabda rasulullah saw : إن الله اصطفى كِنانةَ مِن ولدِ اسماعيلَ و اصطفى قُريشَ مِن كنانةَ و اصطفى مِن قريشٍ بني هاشيمِ و اصطفانِى مِن بني هاشيمِ Sesungguhnya Allah telah memilih Kinanah dikalangan keturunan Ismail . Dia memilih Quraisy dari kalangan Kinanah , Dia memilih Bani Hashim dari kalangan Quraisy dan Dia memilihku dari kalangan Bani Hashim . Riwayat Imam Muslim . Baginda Rasul saw juga pernah bersabda : أنا أعْرَبُكُمْ . أنا قُرَشِىٌّ و استَرْضَعْتُ في بنى سَعْدِ بن بكرٍ Akulah yang paling Arab dari kalangan kamu . Aku seorang Quraisy dan aku menyusu dikalangan bani Saad bin Bakr , Berasaskan dua nas dari al Quran dan dua nas dari hadis nabi saw di atas , saya tidak pernah rasa bersalah apalagi untuk rasa kerdil dengan bangsa dan bahasa saya . Malah saya bangun mempertahankan bangsa dan bahasa saya, lantaran itu saya turun mendada biarpun berdepan fru dan water canon mereka mempertahankan bahasa lidah saya iaitu bahasa melayu dengan membantah PPSMI bersama dengan rakan – rakan Dewan pemuda PAS serta seluruh pejuang – pejuang bahasa dan warga prihatin. Saya percaya semua ummat manusia di atas muka bumi Allah ini sayang dan kasih kepada bangsa dan bahasa mereka . Malah mereka sanggup menggadai nyawa demi mempertahankan maruah bangsa mereka dari dijajah dan diperhambakan justeru bangsa dan bahasa merupakan indentiti dan nilai harga diri. Islam menyempurnakan nikmat bangsa. Lebih sempurna apabila saya dikurniakan hidayah [ petunjuk ] untuk menerima dan menganut agama yang diwahyukan oleh Allah swt. Kerana tiadalah erti dan nilai pada bangsa bertuah ini andai tidak berada di atas petunjuk Allah swt [ Islam ] , agar betul dan benar perjalanan hidup di dunia ini serta kelak di akhirat bebas dari kemurkaan dan azab api nerakaNya. Sungguhpun bangsa adalah ciptaan Allah swt yang wajib kita redha dan syukuri , namun Allah swt. juga menegaskan dalam nas yang sama [ al Hujurat : Ayat 13 ] bahawa mereka yang paling mulia dari kalangan bangsa yang dicipta ialah mereka yang bertaqwa kepada Alllah swt. Iaitu mereka yang tunduk , patuh dan taat kepada ajaran dan perintah Allah swt. Ertinya bangsa tanpa ketundukan dan ketaatan kepada Allah swt tidak menjadikan manusia itu mulia dan diredhai oleh Allah swt. Tanpa kemuliaan dan redha Allah swt pula , maka bangsa tidak bernilai dan bererti lagi . Rasulullah saw juga pernah menegaskan : Tiada kelebihan [ kemuliaan ] bangsa arab berbanding bukan arab kecuali dengan Taqwa . Bangsa tanpa kepatuhan dan ketaatan kepada Allah swt mendorong mereka menjadi zalim dan terjebak pula dalam mungkar [ maksiat ] dan fasad [ kerosakan ] . Sesuatu bangsa tidak akan mengenal syurga neraka dan dosa pahala tanpa mereka menerima agama yang diwahyukan oleh Allah swt . Fenomena ini mudah memerangkap bangsa tersebut untuk terus terpenjara dalam amalan jahiliyah. Bangsa seperti ini akan membangunkan tamadun mereka berasaskan runtunan nafsu dan pengaruh material yang akhirnya akan kembali membinasakan mereka ekoran tipudaya fatamorgana material dan nafsu yang tidak pernah puas sebagaimana yang telah didedahkan oleh Allah swt di dalam surah al Hadiid. Firman Allah swt : 20. Ketahuilah Bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan , juga untuk bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar, selepas itu Engkau melihatnya menjadi kuning; akhirnya ia hancur bersepai, dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan Akhirat). dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya. 21. Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas Segala langit dan bumi, Yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar. Al Hadiid : Ayat 20 – 21 Islam selamat bangsa selamat Memperjuang dan mempertahankan bangsa tanpa agama yang sepatutnya membawa bangsa itu taat dan patuh kepada seluruh ajaran dan perintah Allah swt , adalah suatu tindakan yang menyeleweng dan terhindar dari redha Allah swt. Sementara merendahkan bangsa dan membiarkan orang lain mempersenda bangsa kita , bukanlah juga ajaran agama malah bertentangan dengan tujuan kenapa Allah mencipta manusia dengan bangsa – bangsa yang tertentu sedang ia adalah untuk disyukuri. Memperjuangkan bangsa mestilah dengan asas dan nilai agama agar ia tidak menzalimi bangsa lain . Tidaklah salah mempertahan dan memperjuangkan bangsa sendiri namun dalam masa yang sama hak bangsa lain jangan sekali – kali diabaikan . Berlaku adillah dengan memberikan hak mereka sebagaimana yang diajar oleh Islam dan janganlah pula menolong sesama bangsa di atas nama bangsa sekalipun bangsa sendiri berlaku zalim kerana ia adalah ditegah oleh Islam. Sabda Rasulullah saw dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abi Dawud rhm: ليس منا من دعا إلى عصبية و ليس منا من قاتل على عصبية و ليس منا من مات على عصبية Bukan dikalangan kami sesiapa yang menyeru kea rah asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang berjuang di atas dasar asabiyyah dan bukan dari kalangan kami sesiapa yang mati di atas dasar asabiyyah . Lalu sahabat bertanya , apakah Asabiyyah Ya Rasulallah ? Rasulullah saw menjawab : أن تعين قومك على الظلم Engkau menolong kaum bangsamu di atas dasar kezaliman . Riwayat Abi Dawud Perjuang dan pertahankanlah Islam demi melihat bangsa kita selamat. Islam berdaulat maka bangsa hebat sebaliknya Islam diabaikan maka bangsa binasa. Hari ini nilai harga nusa dan bangsa melayu di tanahair ini tercalar teruk ekoran Islam tidak dijadikan manhaj atau cara dan gaya kehidupan mereka. Mereka terjebak dalam kancah jenayah , maksiat dan mungkar. Mereka terperangkap dengan rasuah yang parah serta penyalahgunaan kuasa yang ketara. Minda mereka terpengaruh teruk dengan tamadun barat yang bertuhankan kuasa dan benda. Mereka memporak perandakan kaum bangsa sendiri kerana memburu kuasa politik dan empayar ekonomi segelintir elit mereka. Rakyat marhain tersepit dengan segala kesengsaraan dan penderitaan dek kerakusan sang politikus melayu yang membolot kekayaan Negara untuk kepentingan kroni mereka. Mereka menggadai tanahair sejengkal demi sejengkal , mereka memerah keringat rakyat setitis demi setitis , mereka membina empayar kemegahan kuasa mereka setingkat demi setingkat. Segalanya berpunca dari kedegilan mereka yang enggan melaksanakan syariat Islam . Semuanya bermula dari keangkuhan mereka yang enggan tunduk kepada perintah Allah swt. Akhirnya menara kuasa yang cuba mereka bina , kini sedang runtuh satu persatu menimpa mereka dan seluruh rakyat yang tidak berdosa. Ketuanan Melayu hanyalah Retorika klasik Negara tidak aman dan rakyat dalam keresahan dan ketakutan. Indeks jenayah kian meningkat. Jenayah bermaharajalela , bermula dari sarang gangster di wilayah mafia sampailah ke dalam penjara dibawah penguasaan polis , dari banjingan biasa yang bergelandangan di lorong belakang mati sampailah ke puncak menara kuasa , jenayah bukan sahaja tidak tamat tetapi semakin membarah biarpun Negara telah lebih 50 tahun merdeka. Bangsa melayu tidak pernah menjadi tuan semenjak itu melainkan hanya dilamun impian dalam pembohongan pemimpin yang sebangsa dengan mereka pula berselindung disebalik retorika Ketuanan Melayu. Realitinya mereka bukan sahaja tidak menjadi tuan tetapi terus diperhamba tanpa sedar dibumi sendiri. Ketuanan Melayu jenis apa yang diperjuangkan oleh mereka jika lebih 20 tahun kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh pemimpin berbangsa melayu dan rakyatnya pula majority berbangsa melayu terus dibelasah tanpa simpati. 118 projek utama yang mampu merangsang ekonomi negeri dan bangsa melayu di Kelantan disekat sejak RMK ke 6 lagi. Royalti minyak turut dinafikan setelah mereka juga merampasnya dari kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2000 semata – mata pada waktu itu , kerajaan negeri Terengganu dikuasai oleh PAS biarpun rata – rata pemimpin PAS dan rakyat Terengganu adalah berbangsa melayu serta mendapat mandat memerintah secara demokrasi. Saya tegaskan sekali lagi , situasi ini tercetus sebagai satu musibah dari sebuah penolakan terhadap syariat Islam. Sedang Islam adalah sebuah cara hidup yang adil untuk semua tanpa mengira kaum dan bangsa. Kelemahan bangsa melayu hari ini bukan kerana mereka beragama Islam tetapi kerana mereka tidak melaksanakan cara hidup Islam yang sebenar. Mereka mengaku Islam tetapi enggan melaksanakan Islam secara menyeluruh dalam segenap system dan dasar kehidupan.
"
Sementelah Allah swt sendiri selaku pencipta manusia menegaskan betapa Dia sengaja mencipta ummat manusia berbilang – bilang bangsa dan bahasa , maka tiada apa yang perlu dikesali kecuali mereka yang kufur kepada ketentuan Allah swt. dan pula tidak tahu mensyukuri nikmatNya.
Saya bangga menjadi Melayu Islam
Friday, December 31, 2010
Sirah Ibnu Hisyam .
Posted by
Nurul Ashikin
at
4:16 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment